KUALA LUMPUR – Mova Digital Tech Sdn. Bhd., syarikat teknologi yang membangunkan aplikasi e-dagang MOVA, menyasarkan seramai tiga juta pengguna aktif tempatan menjelang penghujung tahun ini.
Menurut Pengarah Pembangunan Perniagaan syarikat itu, Moon Ng, pihaknya optimis sasaran berkenaan dapat dicapai berdasarkan kejayaan yang diraih di pasaran Indonesia apabila lebih 500,000 pengguna telah berdaftar sejak ia dilancarkan di negara itu Februari lalu.
Katanya, berdasarkan perkembangan semasa industri e-dagang di rantau Asia Tenggara yang kian pesat, pihaknya menjangkakan jumlah pengguna MOVA di Malaysia dan Indonesia bakal melepasi angka 10 juta menjelang hujung tahun ini.
“Sehingga kini, aplikasi MOVA telah dimuat turun oleh lebih 20,000 pengguna aktif di Malaysia dengan nilai transaksi harian mencecah RM60,000, manakala di Indonesia pula, transaksi harian telah mencapai RM6.1 juta.
“Dengan menawarkan insentif dua hala berupa pulangan tunai peribadi dan ganjaran rujukan, kami yakin sasaran tersebut boleh dicapai.
“MOVA juga disokong oleh pasukan teknologi profesional serta pasukan operasi tempatan yang berpengalaman dan responsif terhadap keperluan pasaran,” katanya dalam kenyataan sempena majlis pra pelancaran aplikasi berkenaan di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah Urusan Mova Digital Tech, Calvin Leong.
MOVA merupakan aplikasi pulangan tunai pihak ketiga yang membolehkan pengguna menjana ganjaran semasa membeli-belah di platform e-dagang seperti Shopee dan TikTok.
Melalui integrasi lancar bersama platform-platform tersebut, MOVA menawarkan nilai sebenar kepada pengguna serta membantu peniaga meningkatkan capaian dan kadar penukaran.

1) Moon Ng (kiri) dan Calvin Leong menunjukkan aplikasi e-dagang atas talian dikenali MOVA yang kini memasuki pasaran Malaysia.
Mengulas lanjut, Moon berkata, idea pembinaan MOVA timbul hasil pemerhatian terhadap trend pengguna di Asia Tenggara yang kini lebih cenderung untuk berjimat ketika membeli secara dalam talian.
“Dalam masa yang sama, pencipta kandungan dan pemasar pula mencari kaedah baharu untuk menukarkan trafik kepada pendapatan.
“Justeru, kami membangunkan satu platform inklusif yang membolehkan semua lapisan masyarakat menjana pendapatan sambil menerima pulangan tunai. Pengguna juga boleh membina pasukan mereka sendiri untuk memperoleh pendapatan jangka panjang,” ujarnya.
Sementara itu, Calvin menjelaskan, pengguna hanya perlu menyemak kelayakan pulangan tunai di aplikasi MOVA sebelum membuat pembelian di Shopee atau TikTok, dan ganjaran tersebut akan dikreditkan secara automatik.
Katanya, pengguna turut boleh menaik taraf akaun mereka sebagai ‘rakan MOVA’ dan berkongsi pautan pembelian dengan kenalan untuk menerima ganjaran rujukan setiap kali rakan mereka membuat pembelian.
“Bagi mempromosikan jenama ini, kami merancang untuk melaksanakan pelbagai strategi pemasaran termasuk bekerjasama dengan personaliti media sosial dan pencipta kandungan tempatan bagi memperluas capaian MOVA.
“Kami juga akan menyertai kempen jualan besar seperti 9.9 dan 11.11, menyediakan promosi khas, aktiviti eksklusif kepada pengguna Malaysia, serta sokongan bahasa tempatan dan perkhidmatan pelanggan,” jelasnya.
Tambah beliau, MOVA juga akan menjalinkan kerjasama strategik dengan jenama dan platform lain bagi menawarkan diskaun serta program pulangan tunai bersama.
Mova Digital Tech ditubuhkan pada tahun 2024 dengan fokus terhadap pembangunan platform berasaskan teknologi e-dagang.
Beribu pejabat di Shenzhen, China, syarikat itu memulakan operasinya di Indonesia pada akhir tahun lalu dengan objektif menyediakan pengalaman beli-belah dalam talian yang lebih efisien dan menjimatkan menerusi inovasi teknologi.
Source : https://malaysiatribune.news/berita-semasa/mova-tiga-juta-pengguna/