Kuala Lumpur : Mova Digital Tech Sdn Bhd selaku pelopor aplikasi e-dagang atas talian dikenali MOVA mensasarkan tiga juta pengguna atau pembeli aktif di Malaysia menjelang hujung tahun ini.
Pengarah Pembangunan Perniagaannya, Moon Ng berkata, pihaknya optimis dengan sasaran berkenaan kerana jumlah pengguna di Indonesia telah melebihi 500,000 orang ketika ini selepas memasuki negara jiran itu tahun lalu.
Menurutnya, pihaknya menjangkakan jumlah pengguna di kedua-dua negara akan melepasi 10 juta pengguna menjelang akhir tahun ini berdasarkan pasaran e-dagang di Asia Tenggara yang semakin rancak.
“Sehingga kini, lebih 20,000 pengguna aktif Malaysia memuat turun dan berdaftar dengan aplikasi MOVA dengan transaksi sebanyak RM60,000 sehari manakala RM6.1 juta sehari di Indonesia.
“Justeru kami yakin sasaran 10 juta pengguna boleh dicapai kerana MOVA menawarkan insentif dua hala iaitu pulangan tunai peribadi dan ganjaran rujukan atau referral.
“Selain itu, kami juga memiliki pasukan teknologi profesional dan pasukan operasi tempatan yang mahir dan responsif terhadap keperluan pasaran atas talian,” katanya dalam satu kenyataan sempena majlis pra pelancaran MOVA di sini, semalam.
Hadir sama Pengarah Urusan Mova Digital Tech, Calvin Leong.
MOVA ialah aplikasi pulangan pihak ketiga yang inovatif di mana membolehkan pengguna menjana ganjaran tunai semasa membeli-belah di platform seperti Shopee dan TikTok.
Dengan integrasi yang lancar bersama platform e-dagang terkemuka itu, MOVA kini memberikan nilai sebenar kepada pembeli dan membantu peniaga meningkatkan pendedahan serta kadar penukaran.
Mengulas lanjut, Moon berkata, idea MOVA tercetus hasil pemerhatian mendalam pihak terhadap pasaran e-dagang di Asia Tenggara di mana pihaknya mendapati semakin ramai pengguna ingin berjimat semasa membeli-belah dalam talian.
Pada masa sama kata beliau, pencipta kandungan serta pemasar pula mencari cara untuk menukarkan trafik kepada pendapatan secara inovasi. Sementara itu, Calvin memberitahu, MOVA membantu pengguna untuk berjimat dan menjana pendapatan pada masa yang sama di mana pengguna hanya perlu membuat semakan pulangan tunai di aplikasi MOVA sebelum membeli di Shopee atau TikTok dan mereka akan menerima pulangan tunai secara automatik.
Katanya, pengguna juga boleh naik taraf sebagai rakan dan berkongsi pautan pembelian dengan rakan-rakan mereka untuk memperoleh pendapatan rujukan setiap kali rakan mereka membeli untuk menerima ganjaran yang akan membuka peluang menjana pendapatan pasif secara konsisten.
Source : https://www.hmetro.com.my/taxonomy/term/2057/2025/07/1237832/mova-tawar-pulangan-tunai